Pasti N9

...beriman bertaqwa

MAJLIS HARI GURU PASTI NEGERI SEMBILAN


Majlis Hari Guru PASTI Negeri Sembilan telah selamat berlangsung di salah sebuah hotel di Port Dickson pada 27 Jun 2009 yang lalu. Majlis yang diadakan bagi meraikan para guru PASTI seluruh Negeri itu telah diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah.
 
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Khairul Anuar Wafa telah memperingatkan akan betapa besarnya ganjaran yang bakal diperolehi oleh para pendidik yang mencurah ilmu Islam kepada anak-anak kecil kerana pahalanya akan berterusan sepanjang usia anak-anak tersebut selama mana mereka mengamalkan ilmu yang diajarkan.  
Beliau mewakili kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru PASTI Negeri yang terus memberi bakti gigih tanpa mengharap elaun yang tinggi. Antara tetamu hormat yang turut hadir adalah Ustaz Nazri Zainudin, Pengarah PASTI Negeri, Ustaz Hassan Alias, Ketua Dewan Ulama Negeri, wakil Dewan Muslimat PAS Negeri.
 
Puan Siti Aminah Lazim dari PASTI Telok Kemang telah diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Sembilan bagi tahun ini. Beberapa anugerah lain turut disampaikan pada majlis ini termasuk anugerah lama berkhidmat, anugerah kecemerlangan guru dan anugerah jasamu dikenang kepada mantan-mantan Pengarah PASTI Negeri Sembilan.
 
Pada majlis yang sama, laman web baru PASTI Negeri telah dilancarkan oleh Ustaz Khairul Anuar. Untuk makluman pengunjung blog ini, ketika ini terdapat seramai 101 orang guru yang sedang bertugas di 41 buah PASTI di seluruh Negeri Sembilan.
 
Encik Hafiz Sarjono selaku Pengarah program ini dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah PASTI Negeri ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat di dalam penganjuran majlis tersebut. Pihak penganjur juga ingin memohon berbanyak kemaafan terutamanya kepada semua guru PASTI sekiranya berlaku kelemahan semasa program berjalan.